21 July 2009

Bulan Rejab kini kembali...

Bismillahirrahmanirrahim...Assalamualaikumwarahmatullah...
Alhamdulillah Rejab kini kembali...disusuli Syaaban dan Ramadhan..bulan yang amat kita tunggu-tunggu..InsyaAllah kali ini kami akan postkan mengenai bulan Rejab...Baca sambil berzikir ye dalam hati..insyaAllah...

Pengertian

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa Penting

1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.


4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.


Amalan

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.Wallahu'alam...

Dengarkanlah sahabat...




















Kami di sini

Di sebuah tempat yang asing

Di atas bukit yang tinggi

Di bawah teriknya sang mentari

Dan terpisah dari segalanya

Angin sepoi-sepoi menyapa lembut ke wajah

Melentok-lentokkan daun pepohon getah

Diiringi nyanyian dan kicauan burung-burung

Namun rata-rata penduduknya ramah

Menambahkan lagi kesyahduan di hati

Demi mencari identiti sebenar

Dan mengejar cita-cita yang belum tercapai

Bersama satu impian iaitu ingin berjaya

Kami akan bersabar dan pasrah.


Kami di sini

Menghitung hari-hari yang kian berlalu

Merenung sejarah silamku

Yang penuh suka-duka

Sejarah yang mengajarku

Erti kematangan fikiran

Dalam menempuh liku-liku hidup

Yang penuh pancaroba

Diiringi onak dan duri

Termasuk tipu daya

Yang mampu mengheret kita

Ke lembah kehinaan dan kebinasaan.


Dan kami di sini

Bersama satu kesedaran keazaman yang teguh

Kesabaran dan ketabahan yang kukuh

Akan kamibuktikan pada semua

Suatu hari dan ketika nanti

Kami mampu mencapai sinar gemilang

Agar mereka semua tahu

Pengorbanan bonda dan ayahanda tidak dipersiakan.
p/s:~go go chai yok!
~be the best among the best!

blogger-emoticon.blogspot.com

Kenangan kita bersama...














Teman,

Terlalu banyak kenangan sewaktu kita bersama

Susah senang dilalui dengan sabar

Namun di sebalik itu

Ada juga yang mengambil kesempatan

Mencemburui dan iri hati.


Teman,

Usahlah kau mengambil hati

Memang sudah menjadi lumrah

Manusia tidak akan hidup

Tanpa...

Cemburu,iri hati,umpat keji

Sabarlah di atas segalanya.


Teman,

Moga kita bertemu kembali

Atau mungkin batu nisan

Menjadi pengganti

Kenangan sewaktu bersamamu

Tetap terpahat di ingatan.


Teman,

Penantian merupakan satu penyeksaan

Namun bukan akhir bagi segalanya

Andai ditakdirkan bertemu

Suatu hari nanti

Janganlah ada benci

Lupakanlah yang lalu

Bukalah kisah baru

Moga kita akan bersama

Buat selama-lamanya.

Insya-Allah.....

13 July 2009

Peranan muslimah sebagai daie

Bismillah..Assalamualaikum warahmatullah..

Penglibatan muslimah di dalam gerakan dakwah adalah merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi. Contoh yang dibuktikan oleh muslimah yang terdahulu seperti saiyidatina Khadijah binti Khuwailid sebagai manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam, saiyidatina Aisyah sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Ummu Ammarah Nusaibah binti Ka'ab yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahid adalah bukti yang jelas bahawa peranan muslimah adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar beroperasi di dalam rumahnya.

Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia dalam memisahkan peranan muslimah di dalam medan perjuangan Islam adalah merupakan sebahagian dari gejala rawathib aljahiliyyah (karat-karat jahiliyyah) dan juga rawathib al isti'mariyah (karat-karat penjajahan) yang begitu dominan di seluruh pelusuk dunia Islam. Akibat dari gejala ini, salah faham terhadap Islam berlaku dan Islam ditohmah sebagai satu ajaran agama yang menindas dan memperlekehkan kaum wanita.

Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia sama ada lelaki mahupun perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat. Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali pun membezakan antara mereka dari segi
tanggungjawab di atas muka bumi mahu pun pembalasan di akhirat nanti.

Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu muslimah mestilah berusaha untuk memanggil ke arah perlaksanaan cita-cita Iman dan Islam tadi ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam waqi' (realiti). Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai dah'wah.

Di dalam konteks dah'wah, di sana ada 3 marhalah (peringkat) yang mesti dilalui untuk menjamin keberkesanan usaha yang dilakukan. Marhalah2 tersebut adalah marhalah ta'rif (pengenalan), marhalah takwin (pembentukan), marhalah tanfiz (perlaksanaan). Di sini kita akan cuba menghuraikan peranan muslimah sebagai dah'ieah dalam mengisi ketiga-tiga marhalah tadi.

1. Marhalah Ta'rif

Yang dimaksudkan sebagai ta'rif adalah pengenalan dalam konteks penyediaan individu muslimah yang faham, beramal dengan apa yang difahaminya dan seterusnya berjihad dan beristiqamah pula dalam jihadnya. Untuk mengisi tuntutan ini maka hendaklah setiap muslimah tadi berusaha untuk:

1.1) Melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah azza wa jal dengan pembentukan iman dan aqidah yang benar. Proses ini berlaku apabila muslimah tadi berusaha dan bersungguh dalam ibadat dan hubungannya dengan Allah azza wa jal melalui ibadat dan ketaatan seperti yang telah diwajibkan.

1.2) Melahirkan insan yang faham akan konsep Iman dan Islam yang menyeluruh sepertimana firman Allah azza wa jal:

"Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak-jejak syaitan". Surah Al Baqarah ayat 208.

1.3) Melahirkan insan yang memiliki as syakhsiyah al-islamiyyah (personaliti sebagai seorang Muslim) yang contoh ikutannya adalah Rasulullah SAW. Syakhsiyah ini adalah berbentuk kamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) dan setiap penda'wah hendaklah menyedari bahawa kita sekarang sedang membawa risalah dan setiap gerak geri kita adalah diperhatikan. Pastikanlah bahawa syakhsiyah kita tadi tidak akan menimbul fitnah terhadap Islam yang hendak kita bawa dan tarbiyyah yang sedang kita lalui.

2. Marhalah Takwin

Setelah menjalani proses ta'rif, muslimah hendaklah berpindah pula kepada marhalah takwin. Di dalam marhalah ini mad'u (mereka yang dida'wahkan) hendaklah dibawa mengenali konsep amal jamaie (beramal dan bergerak dalam bentuk jamaah). Islam tidak pernah dan tidak akan dapat ditegakkan oleh individu atau pengasingan diri dari masyarakat. Individu tadi
hendaklah memiliki dan mengujulkan intima' dan iltizam (commitment) yang menyeluruh terhadap Islam, dah'wah dan harakah Islamiyyah (gerakan Islam).

Dalam peringkat ini hendaklah dibentuk sifat mas'uliyah fardiyah (tanggungjawab) yang tinggi. Masuliyah ini adalah masuliyah yang melahirkan sifat muraqabah (merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya) yang akan mengakibatkan individu tadi jujur pada dirinya, jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didokonginya. Kita tidak mahu dalam marhalah ini akan timbul permasalahan furu' (cabang) dibawa menjadi isu yang mengakibatkan kita menjadi golongan al
mutasaqitin (golongan yang gugur).

Dalam marhalah ini keujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) sebagai nucleus terpenting dalam gerakan Islam adalah merupakan satu tuntutan. Muslimah berperanan untuk memastikan rumahtangganya hidup dalam suasana Islam dalam semua aspek. Dalam hubungan ini Muslimah berperanan untuk menjadi zaujah as solehah (isteri yang solehah), yang taat dan pendorong utama kepada perjuangan Islam suaminya dan juga berperanan
besar untuk memastikan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anaknya) berjalan dalam suasana yang Islamik.

3. Marhalah Tanfiz

Marhalah ini adalah marhalah yang terpenting yang merupakan ujian sebenar terhadap commitment seseorang muslimah terhadap pengisian dan kefahamannya terhadap Islam. Islam yang hanya sekadar diteorikan tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Dalam marhalah ini, 3 unsur utama yang harus diperhatikan adalah:

3.1 Al Iman al 'amiq: Iman yang mendalam.

3.2. Tanzim ad daqiiq: Penyusunan organisasi gerak kerja yang teratur lagi menyeluruh.

3.3. Al amal mutawasil: Kerja dan komitmen yang dibuat berterusan dan bukan hanya kerana masa yang tertentu, kawan atau suasana.

Dalam marhalah ini, muslimah tidak lagi dapat menyendirikan diri untuk membawa risalah Islam. Panduan Al Quran dengan jelas memerintahkan pejuang Islam untuk berada dalam satu saf yang tersusun rapi:

"Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah batu-bata yang tersusun rapi..." AS SAFF: 3.

Marhalah ini mengajak muslimah untuk keluar di tengah-tengah medan dan bersama mengangkat panji-panji Islam untuk ditegakkan di tengah-tengah kejahilan ummah.

Marhalah ini adalah marhalah muwajahah (berdepan) dengan realiti perjuangan dah'wah yang akan mengajak kepada pengorbanan yang sebenarnya. Tidak ada di sana sebarang perjuangan yang tidak ada pengorbanan. Pengorbanan dalam dah'wah adalah terlalu luas dan banyak bidangnya yang mengajak kita untuk mengurus dan mentadbir diri kita ini dengan sebaik-baik tanzim.

Penutup

Setelah kita melihat segala tuntutan ini dengan jelas menunjukkan bahawa tanggung jawab yang ada di bahu kita adalah lebih banyak dari kemampuan yang kita miliki, maka dengan demikian hadith Rasulullah SAW: "Ilzim jama'betul muslimin wa imamahum"; Lazimkanlah diri kamu dengan jemaah Islam dan Imam (pimpinan) mereka, adalah merupakan satu komitmen yang jelas mengajak kita semua untuk bersatu bersama jemaah.

Ikrar sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah akan hanya teruji kalau kita bersama dengan harakah Islamiyyah. Perjuangan yang tidak bersifat haraki adalah perjuangan yang tidak menepati contoh yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan cita-cita Islam tidak akan tercapai kalau kita hanya menyatakan bahawa Islam itu benar, indah dan sempurna tetapi kebenaran, keindahan dan kesempurnaan itu tidak kita jihadkan dan kita dah'wahkan.

Sekian saja post dari kami pada kali ini..smoga kita sama-sama mndapat kbaikan dan pelajaran..wallahu'alam..