06 August 2009

Pengertian bulan Syaaban...





sumber dari:http://qaululqutb.blogspot.com

Kebanyakan umat islam mengenali bulan syaaban kerna malam nisfu syaaban, namun kebanyakannya tidak memahami secara mendalam peristiwa yang sangat penting didalam nya. Disini mari kita bersama –sama mengenali dengan lebih mendalam salah satu bulan yang dikatakan amat penting dalam hidup nabi dan dikatakan sebagai bulan persediaan menghadapi kedatangan bulan ramadhan ini..

Dari segi bahasa, Syaaban membawa maksud berpecah-pecah atau berpuak- puak dan perkataan itu terbit daripada budaya hidup masyarakat Quraisy yang terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Pendapat lain pula mengatakan, Syaaban adalah tanda pemisah antara bulan Rejab dan Ramadan.

Rasulullah SAW pada bulan Syaaban telah memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan, baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut.

Seperti mana maksud satu hadis daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. (riwayat al-Bukhari).

Berdasarkan maksud hadis tersebut, jelas Rasulullah telah memperbanyakkan ibadat puasa pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain sebelum baginda berpuasa penuh pada bulan Ramadan.

Tidak dinafikan usaha untuk menggandakan amal ibadat tidak seharusnya ditumpukan pada bulan-bulan tertentu tetapi ibadat yang dikerjakan oleh Rasulullah ini wajar diikuti kerana pasti ia mempunyai banyak kelebihan.

Siapa lagi yang harus mendukung sunnah Rasulullah jika bukan kita sebagai umat Nabi Muhammad.

Selain digalakkan berpuasa sunat, kita juga digalakkan memperbanyak bersedekah, membaca al-Quran, bermunajat, berdoa, berzikir, qiamullail dan membaca selawat ke atas junjungan Rasulullah.

Sementara itu terdapat satu peristiwa besar dan paling bersejarah berlaku pada bulan Syaaban iaitu pertukaran arah kiblat daripada Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis ke Kaabah di Masjidilharam.

Peristiwa pertukaran kiblat itu berlaku di dalam masjid Qiblatain di Madinah iaitu ketika Rasulullah serta para sahabat sedang menunaikan solat Asar.
/span>Peristiwa tersebut berlaku pada tahun kedua Hijrah, dalam bulan Syaaban.

Ia telah dirakamkan oleh Allah di dalam kitab suci al-Quran al-Karim pada ayat 144 surah al-Baqarah yang bermaksud: Kerap kali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka ke arah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka, dan Allah SWT tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

Perubahan arah kiblat itu juga adalah satu tamparan cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmuqaddis hingga mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut mereka walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.

Berkenaan dengan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Habban dalam kitab al-Sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Nabi saw bersabda yang maksudnya: Allah swt melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang menyebarkan fitnah.

Dalam hadis yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: ''Allah swt memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.

Hadis-hadis ini menggambarkan kepada kita kelebihan bulan Syaaban yang sungguh istimewa. Ibadat mesti digandakan sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah yang membanyakkan puasa sunat. Hadis tersebut juga menunjukkan bahawa Allah swt sedia memberi keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat.
Ibadat pada malam Nisfu Syaaban:

1. Ibadat yang khusus dilakukan pada malam itu ialah:

2. Sembahyang lima waktu, sunat dan tahjud.

3. Membaca al-Quran. Kalau tidak boleh menghabiskan semuanya, sekurang-kurangnya membaca surah Yasin, al-Waqiah, al-Mulk, al-Insan, al-Hashr, al-Muzammil dan surah al-Mudathir.

4. Banyak beristighfar kepada Allah.

5. Bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca berbagai doa dan zikir yang ma'thur.

Sebenarnya tidak ada doa khusus untuk dibacakan pada Nisfu Syaaban. Kita mesti ingat bahawa Allah swt sentiasa membuka pintu taubat bukan pada malam Nisfu Syaaban sahaja bahkan ia sentiasa terbuka waktu pagi dan petang, siang dan malam.

Wallahu'alam....

No comments: